Seorang pengurus kanan sebuah agensi syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000.

Menurut sumber, suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, di sini kira-kira pukul 5 petang semalam (Isnin).

Difahamkan, pengurus kanan cari gali yang diamanahkan untuk menguruskan projek-projek kerja berkaitan cari gali minyak itu telah mengambil kesempatan dengan meminta wang rasuah sebagai balasan memberikan kontrak-kontrak kerja cari gali minyak di Terengganu.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan permohonan reman telah dibenarkan selama lima hari," katanya.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd. Razali, ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan itu dan siasatan sedang dijalankan berhubung dengan kes tersebut.