Tertuduh, Nurizah Noordin, 49, dan Roslin Allias, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurizah yang bertugas sebagai Pengurus Besar PPK Lubuk Batu yang diamanahkan dengan urusan kewangan telah melakukan pecah amanah jenayah apabila menunaikan cek milik PPK Lubuk Batu bernilai RM30,000 untuk kegunaan sendiri.
Manakala Roslin pula yang bertugas sebagai Timbalan Pengurus Besar PPK Lubuk Batu dituduh bersubahat bersama Nurizah melakukan pecah amanah terhadap harta milik PPK Lubuk Batu iaitu cek RM30,000.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad Pekant Jitra 2, Daerah Kubang Pasu pada jam kira-kira 3.30 petang, 30 Januari 2019.
Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjaran maksimum 20 tahun, disebat dan didenda.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam Rafie Noordin Sani.
Pendakwaan meminta mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 ke atas setiap tertuduh, bagaimanapun peguam tertuduh meminta jaminan lebih rendah berikutan kedua-dua anak guamnya perlu menanggung keluarga selain mempunyai anak masih bersekolah.
Priscilla kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang beserta seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa mereka kepada mahkamah.
Mahkamah kemudianya menetapkan 5 September depan bagi tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.