KUALA LUMPUR: Pengurangan bayaran ansuran bulanan terus disediakan kepada peminjam yang masih lagi memerlukan bantuan bayaran balik selepas tamat tempoh Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, bank akan menyediakan pakej bantuan yang bersesuaian dengan kemampuan peminjam.

"Sebelum ini kerajaan mengumumkan peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan juga pilihan untuk mengurangkan bayaran ansuran
pinjaman sehingga 24 bulan keseluruhannya.


"Bagi peminjam lain yang juga terkesan dan memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman selepas pakej Pemulih tamat, bank-bank akan terus menyediakan pakej bantuan termasuk pengurangan bayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan peminjam," katanya di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) mengenai pelanjutan moratorium dan kemungkinan kerajaan akan memperkenalkan pemberian moratorium tanpa faedah terakru.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar menjelaskan, permohonan moratorium di bawah Pemulih masih dibuka kepada pemimjam yang memerlukan.

"Mereka hanya perlu menghubungi bank masing-masing dan sekiranya peminjam menghadapi kesukaran semasa berurusan dengan pihak bank atau permohonan bantuan bayaran balik pinjaman ditolak, mereka boleh menghubungi Bank Negara Malaysia (BNM) secara terus," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, peminjam juga boleh memohon pelbagai program yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) seperti Program Pengurusan Hutang, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Skim Sokongan Daya Tahan Kewangan.

Program-program itu, kata beliau, dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan institusi perbankan, dan mempunyai ciri-ciri seperti ansuran bulanan yang berkurangan, pelanjutan tempoh bayaran balik dan program sokongan daya tahan kewangan.