PUTRAJAYA: Penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah vernakular tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana bahasa kebangsaan diajar sebagai mata pelajaran wajib di sekolah terbabit.
Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin, yang mewakili Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, berhujah bahawa kesemua sekolah terbabit juga perlu mematuhi sukatan mata pelajaran yang sama.
Beliau berkata, penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular diiktiraf dari segi sejarah dan diperuntuk secara jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Liew berkata, pemeriksaan terperinci ke atas dokumen dan peristiwa bersejarah berkaitan adalah penting untuk pemahaman yang betul mengenai Perkara 152.
"Kita dibentuk oleh sejarah, sejarah adalah siapa diri kita dan mengapa kita adalah kita," katanya di hadapan panel tiga hakim yang mendengar rayuan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Liew berkata hasrat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa sama, memelihara serta mengekalkan penggunaan bahasa lain dalam sistem pendidikan.
Beliau berkata, justeru, relief yang dipohon oleh Mappim, Gapena, Isma dan I-Guru adalah bertentangan dengan hasrat penggubalnya berdasarkan sejarah Perlembagaan selain memusnahkan tonggak asas keseimbangan Perlembagaan di negara ini.
Rayuan itu didengar oleh Datuk Supang Lian, Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.
Pada 29 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena and Isma. GPMS bagaimanapun tidak memfailkan rayuan.
Mohd Nazlan memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.
Pada 29 Mei tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman, Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) turut memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan ketika beliau menolak saman I-Guru.
Menerusi saman yang difailkan pada Disember 2019, GPMS, Mappim, Gapena dan Isma menamakan beberapa pihak termasuk kerajaan, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia serta Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).
I-Guru pula, yang menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, memohon deklarasi bahawa Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak mempunyai kesan.
Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, MCA dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah dibenarkan mencelah dalam saman yang difailkan oleh I-Guru.
Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar hujah peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili I-Guru dan Datuk Bastian Vendargon yang mewakili Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia serta Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia.
Shaharudin berkata, berdasarkan pelan tindakan pendidikan kerajaan yang terkini, hampir 100 peratus pelajar Cina pergi ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina manakala enam daripada 10 pelajar India ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Beliau berhujah adakah perpecahan seperti ini boleh menyumbang kepada pembangunan negara yang kukuh, bersatu dan harmoni.
Vendargon pula berhujah Mohd Nazlan tidak terkhilaf apabila beliau memutuskan bahawa peruntukan yang berkaitan dalam Akta Pendidikan 1996 tidak bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Supang Lian kemudian menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh seterusnya bagi pendengaran rayuan itu.
- BERNAMA
Bernama
Thu Aug 24 2023

Shaharudin berkata, hampir 100 peratus pelajar Cina pergi ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina manakala enam daripada 10 pelajar India ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. - Foto fail/Sinar Harian

Selepas disingkir, Mohalim dan Umarul umum bubar IKLIM
Jelas Mohalim, pembubaran IKLIM adalah jalan terbaik ketika ini memandangkan kemelut yang melanda (pemecatan) adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan di luar jangkaan.
Jejantas Tun Teja lonjak ekonomi setempat
Ikon pelancongan terbaharu Melaka, Jejantas Tun Teja sebagai pemangkin kepada perkembangan ekonomi peniaga kecil dan sederhana yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan.
DBKL ambil alih pengurusan bazar, tawar sewaan berpatutan
Bermula tahun ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil alih sepenuhnya pengurusan bazar Ramadan dan Aidilfitri di ibu kota, termasuk urusan permohonan lesen, pengoperasian tapak serta kawalan bazar.
598 warga asing ditahan di Klang, ada yang sanggup sembunyi dalam longkang
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Jafri Embok Taha berkata, kesalahan dilakukan merangkumi tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, salah guna pas dan pelbagai kesalahan lain.
AWANI Ringkas: Reformasi Institusi, Perkukuh Demokrasi
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Dua RUU penting dibentang Isnin depan - Fahmi
Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas dalam sidang Parlimen kali ini untuk diluluskan.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini, RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini, RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Sultan Ibrahim berangkat pulang selepas rawatan di luar negara
Yang di-Pertuan Agong berangkat ke luar negara 7 Feb lalu untuk menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’.
Perkhidmatan tren di PWTC, Titiwangsa, Sentul, Sentul Timur terjejas
Seorang penumpang disahkan terjatuh di kawasan landasan di stesen LRT Titiwangsa pada pagi Sabtu.

Lelaki OKU maut jatuh landasan LRT Titiwangsa
Pemeriksaan lanjut menunjukkan mangsa hilang keseimbangan lalu terjatuh di kawasan rel LRT sebelum dilanggar sebuah tren.
[TERKINI] Lelaki OKU maut digilis tren LRT di Stesen Titiwangsa
Mangsa yang jatuh di kawasan landasan LRT Titiwangsa berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penggunaan bahasa lain di sekolah vernakular tidak bercanggah dengan Perlembagaan
Penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular diiktiraf dari segi sejarah dan diperuntuk secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.