Berita mengenai anggota keselamatan yang terkorban semasa operasi Ops Daulat di Lahad Datu merebak dengan pantas di laman media sosial.

Pengguna-pengguna twitter mula mengucapkan takziah mereka sejurus selepas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengumumkan bahawa seorang anggota tentera disahkan terkorban dalam satu insiden pertempuran di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pagi ini.






Zulkifeli berkata pasukan keselamatan telah diserang hendap oleh kumpulan pengganas itu pada 7.45 pagi dan selepas itu mereka melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.

Beliau juga berkata dalam pertempuran itu tiga orang anggota pengganas turut terbunuh.

Sehingga kini sembilan anggota keselamatan terkorban dalam insiden pencerobohan itu manakala 57 penceroboh militan ditembak mati.

Zulkifeli turut berkata Kampung Tanduo kini telah bersih sepenuhnya daripada ancaman penceroboh militan dan operasi pasukan keselamatan kini diperluas ke Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu.