MELAKA: Pengguna lebuh raya berkongsi video rakaman detik cemas nyaris melanggar tayar lori dipercayai menjadi punca nahas yang mengakibatkan tujuh maut di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, di sini, pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Pengguna lebuh raya berkongsi video detik cemas nyaris melanggar tayar lori yang menyebabkan kemalangan tujuh maut di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara.
  • Video menunjukkan tayar lori berada di antara lorong pertama dan lorong tengah lebuh raya, menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa mengelak secara mengejut.
  • Kemalangan melibatkan lima kenderaan, termasuk sebuah bas pelancong, treler, dan tiga kenderaan lain, berlaku kira-kira jam 8.30 malam.


Rakaman kamera papan pemuka kenderaan dimuat naik di media sosial itu memaparkan objek dipercayai tayar lori berada di antara lorong pertama dan lorong tengah lebuh raya itu menghala ke arah Selatan.


Difahamkan, video berdurasi 31 saat itu dirakam sebelum kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki lapan sekeluarga berlaku.

Video turut menunjukkan keadaan di lokasi ketika itu agak gelap sehinggakan pengguna jalan raya yang melaluinya terpaksa mengelak secara mengejut dan memperlahankan kenderaan.

Terdahulu media melaporkan, tujuh maut termasuk bayi lelaki dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di lokasi.

Kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu melibatkan sebuah bas pelancong yang membawa 27 penumpang, treler yang membawa guni pakaian bundle serta tiga lagi kenderaan. -Sinar Harian