Lesen Hospital Bersalin dan Pusat Perubatan Cina NS (NSCMH), yang digantung Kementerian Kesihatan minggu lepas, adalah bersifat sementara.

Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata kementerian boleh mempertimbang untuk menarik balik penggantungan itu jika NSCMH memenuhi syarat yang gagal dipatuhi sebelum ini.

"Dengan memiliki doktor residen dalam disiplin teras iaitu Obstetriks dan Ginekologi; Pediatrik; Anestesiologi dan Radiologi; selain menggerakkan fungsi Jawatankuasa Penasihat Perubatan, NSCMH mungkin dibenar meneruskan sebahagain operasinya terutama dalam menyediakan perkhidmatan sakit puan serta perbidanan.

"Pada masa sama, sepatutnya tidak ada campur tangan oleh petugas bukan perubatan dalam soal penjagaan dan pengurusan pesakit yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Jeyaindran juga berkata jika NSCMH boleh menyediakan doktor residen dalam bidang Pembedahan, Perubatan Dalaman dan Ortopedik, hospital itu akan dibenar menyediakan perkhidmatan penuh kepada pesakit di dalam wad.

Pada 21 Nov lepas, Kementerian Kesihatan menggantung perkhidmatan pesakit dalam wad hospital berkenaan selepas NSCMH didapati melakukan 10 pelanggaran Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilapor sebagai berkata NSCMH tidak dibenar menerima pesakit baharu manakala pesakit sedia ada dalam wad akan dipindah ke hospital lain kerana kementerian mengutamakan keselamatan pesakit serta penjagaan kesihatan berkualiti.

Beliau berkata perintah penggantungan itu berikutan siasatan terperinci berhubung aduan yang diterima kementerian berkenaan pada Ogos dan dibuktikan menerusi penemuan semasa lawatan pengesahan ke premis NSCMH pada 4 Sept lepas.

"Semua pelanggaran yang dilakukan merangkumi isu membabitkan perkhidmatan pesakit dalam wad dan pesakit luar.

"Satu contoh ialah NSCMH kekurangan doktor residen sepenuh masa dalam disiplin teras tertentu sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung keselamatan pesakit di hospital berkenaan," katanya.