KOTA BHARU:Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan kesalahan seksual kanak-kanak kerana menyentuh bahu pelajar perempuan.

Muhammad Afiq Mohamed Zahari, 28,  bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan maksud seksual iaitu menyentuh kedua-dua bahu mangsa yang berusia 13 tahun dari belakang di kawasan sekolah pada 25 Januari lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizudin Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan dia tidak dibenarkan menganggu mangsa  selain perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 1 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

BACA: Rogol anak tiri 105 kali, bapa dipenjara 1,050 tahun, 24 sebatan