PASIR MAS: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencabul kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun di sebuah surau sekolah agama di Tanah Merah, dua minggu lalu.

Ab Rashid Abdullah, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki tersebut di surau sekolah rendah agama terletak di Tanah Merah, kira-kira pukul 11 malam pada 19 Mei hingga 2 pagi pada 20 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rifzan Rosli.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.