Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan semua anggotanya memeriksa semua pengawal keselamatan yang diberi lesen menggunakan senjata api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia dilakukan bagi memastikan hanya mereka layak diberi kebenaran untuk menggunakan senjata api.

Bagi tujuan yang sama syarat pemberian lesen senjata api kepada pengawal keselamatan juga akan ditambah baik pada masa hadapan.

Sistem biometrik juga akan digunakan bagi memastikan pengawal keselamatan yang memohon permit senjata api terdiri dari warga negara Malaysia.

Ia sekali gus menentukan pengawal berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah atau pernah terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

Khalid berkata demikian selepas melawat polis sukarelawan di Hospital Kuala Lumpur yang cedera ketika cuba menahan peragut pada Khamis.

Kenyataan dibuat susulan meningkatnya insiden rompakan membabitkan pengawal keselamatan bersenjata.

Semalam seorang pegawal keselamatan yang memiliki senjata api bertindak merompak sebuah kedai emas di KL Festival City Mall, berhampiran Setapak.

Dia dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.

Manakala pada 24 Oktober lalu, negara digemparkan apabila seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai bank, Norazita Abu Talib, 37, selepas mangsa membuka bilik kebal Ambank di Subang Jaya.

Suspek masih diburu.