Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) tidak berhasrat untuk menyaman mana-mana pihak pada ketika ini dan berharap untuk terus berunding dengan pihak-pihak terbabit untuk mencari penyelesaian tentang cadangan pengagihan dan pemisahan fungsi dispensari ubat-ubatan yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Pendirian persatuan itu juga kekal iaitu menentang cadangan yang dikemukakan itu.

“Kami akan terus berunding dengan Kementerian Kesihatan dan semua kementerian lain dan berharap bahawa kami boleh mencari jalan penyelesaian atas amalan perubatan di negara ini yang akan menguntungkan semua pihak,” kata Presidennya Dr. H.Krisha Kumar dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Krisha juga memaklumkan MMA telah menghubungi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan dengan bantuan beliau telah mengadakan satu pertemuan dengan wakil dari Bahagian Khidmat Farmasi Kementerian Kesihatan dan bahagian-bahagian lain yang berkaitan pada 24 Februari 2015.

Ketika pertemuan itu pihak MMA telah diberi taklimat dan telah dimaklumkan bahawa Akta Farmasi masih diperingkat awal cadangan dan masih mempunyai tempoh yang lama untuk dibentangkan di parlimen.

Antara yang dicadangkan menerusi rang undang-undang itu adalah pemisahan fungsi dispensari ubat di mana pesakit perlu berjumpa doktor untuk konsultasi dan pemeriksaan tetapi hanya boleh mengambil ubat dari kedai-kedai farmasi.

Ia telah membuka perdebatan orang ramai yang bimbang cadangan ini membawa kepada lebih banyak keburukan dari kebaikan. Termasuk keselamatan ubat-ubatan yang diambil dan peningkatan kos.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata rang Undang-Undang Farmasi yang baharu masih dalam peringkat penilaian untuk mengumpulkan maklumat daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara.

Perbincangan dengan Persatuan Farmasi dan ahli akademik akan dilangsungkan pada minggu keempat bulan Mac seterusnya diikuti dengan majlis taklimat rasmi pada April 2015.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam satu kenyataan media sebelum ini telah menegaskan pendirian mereka bahawa mereka menentang sistem pemisahan fungsi pengagihan dan pemberian preskripsi ubat-ubatan.

UNTUK KENYATAAN PENUH KLIK DI SINI