Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) menyokong cadangan mengkaji semula kesalahan pengambilan ganja supaya ia tidak diletakkan sebagai satu kesalahan jenayah.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Yunus Pathi Mohd berkata, beliau bersetuju dengan cadangan ahli Parlimen Belia yang mahukan kerajaan memperhalusi dasar pengharaman ganja di negara ini.

Menurutnya, Akta Dadah Berbahaya harus diubah supaya ganja tidak lagi dikategorikan sebagai dadah berbahaya.

Menurutnya, ganja bukanlah jenis dadah berbahaya.

"Mereka yang mengambil dadah adalah pengguna dadah dan ini bukan satu kesalahan jenayah. Undang-undang harus diubah kerana hukuman terhadap pengguna dadah tidak setimpal.

"Ini kerana sebagai pengguna, mereka bukanlah penjenayah selagi dia tidak terlibat dengan aktiviti pengedaran atau aktiviti jenayah lain.

"Oleh itu mereka tidak perlu ditahan di lokap sebaik sahaja ujian saringan air kencing yang dijalankan di dapati positif. Sebaliknya mereka harus dihantar terus mendapat rawatan dan kaunseling supaya tabiat mereka dapat diatasi dan akhirnya berhenti mengambil ganja," katanya.

BACA: 'Hisap ganja untuk hilangkan tekanan kos sara hidup' - Syed Rosli

BACA: Ganja hilangkan tekanan: 'Jangan berangan jadi Robin Hood' - Nooh Gadut

Beliau diminta mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan Parlimen Belia Malaysia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli supaya kerajaan memperhalusi dasar pengharaman ganja mengikut situasi semasa dengan melihat kegunaannya daripada aspek positif.

Mohd Yunus bagaiamnana pun berkata Pengasih akan tetap menunggu laporan daripada pihak berwajib termasuk kementerian kesihatan mengenai isu ini.

"Ini suara daripada belia dan saya rasa ia mempunyai asas kerana pada ketika ini seseorang yang ditahan didapati positif akan terus di hantar ke lokap selama dua minggu. Kemudian perlu hadiri sebutan kes di mahkamah dan perlu tunggu pula pnghakiman sebelum dihantar ke pusat pemulihan.

"Semua proses ini memakan masa yang panjang dan melibatkan kos kepada kerajaan, malah ada belum disabitkan bersalah boleh hilang kerja," katanya selepas Bengkel Keluarga Bahagia Memperkasakan agen perubahan Masyarakat di Kejora Pulau Pangkor, di sini, pada Sabtu.