MELAKA: Seorang pengarah sebuah syarikat direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai memberi suapan kepada penjawat awam bagi mendapatkan projek.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan perintah reman itu dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni, selepas membenarkan permohonan dibuat SPRM Melaka.

SPRM Melaka memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Semalam media melaporkan SPRM Melaka menahan seorang pengarah sebuah syarikat kerana disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam di beberapa jabatan kerajaan di Melaka bagi pelaksanaan kerja-kerja perolehan melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM639,104 sejak tiga tahun lepas.

Suspek yang merupakan lelaki berusia 60-an itu ditahan ketika hadir ke Pejabat SPRM Melaka kira-kira 12 tengah hari semalam bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA