SETIAP pasangan raja sehari mengimpikan persalinan sedondon yang menawan pada hari bersejarah mereka.

Malah, rata-rata mahu menjadi lime light di hari persandingan mereka selain suka menerima pujian bahawa busana mereka kelihatan cantik.

Tapi berbeza dengan pasangan pengantin ini apabila mereka naik berang sebaik sahaja mendapat tahu persalinan pengantin mereka tidak siap.

Ekoran itu, mereka bertindak 'menyerang' butik pengantin itu apabila busana raja sehari mereka gagal disiapkan sehari sebelum majlis persandingan di utara Semenanjung.

Pihak butik pula memberitahu gagal menyiapkan busana itu pada malam Ahad.

Insiden itu diluahkan salah seorang ahli keluarga pengantin di laman sosial Facebook hingga menjadi tular di media sosial.

Malah, video dan gambar yang dimuat naik ahli keluarga pengantin itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang menganggap pihak butik berkenaan tidak bertanggungjawab.


Status yang dimuat naik kakak kepada pengantin di laman media sosial.


Dakwa ahli keluarga, pemilik butik itu juga memberi jawapan tidak berasas dan mengecewakan apabila pihaknya bertanyakan mengenai busana pengantin.

Selain busana pengantin, pelamin yang dipersetujui juga tidak ditunaikan malah boleh dikatakan indah khabar dari rupa.

"Pelamin tak semegah harga RM1500, janji lain, dapat macam jahanam," kata pelanggan itu melalui komennya di media sosial.

Tambah ahli keluarga pengantin, mereka terpaksa mencari karpet sendiri apabila pihak butik tidak menyediakan perkara berkenaan.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik berlaku pertelingkahan dipercayai di antara pihak butik dan beberapa ahli keluarga pengantin.

Situasi menjadi lebih tegang apabila salah seorang kakitangan butik membaling objek ke arah ahli keluarga pengantin dan tidak lama kemudian tiba seorang lelaki berbaju merah dilihat seperti mahu bergaduh dengan mereka.

Difahamkan, pihak pengantin akan membuat laporan mengenai kejadian itu kepada pihak polis dan tribunal pengguna.