SUBANG JAYA: Polis sudah memanggil 41 individu setakat Ahad untuk direkod keterangan berhubung kematian empat pengunjung konsert Pinkfish yang berlangsung di Bandar Sunway sempena sambutan ambang tahun baharu. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, keterangan mereka direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. 

Menurutnya, polis juga akan memanggil penganjur dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. 

"Siasatan juga akan bertumpu kepada aktiviti penjualan dadah jenis ekstasi yang dipercayai berlaku di luar dan dalam premis ketika berlangsungnya konsert itu.

"Selain penganjur, kita juga ada memanggil ahli keluarga dan rakan mangsa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Wan Azlan berkata, dua mangsa lagi masih lagi menerima rawatan di hospital dan dilaporkan lemah tetapi stabil.

Media sebelum ini melaporkan empat individu tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita meninggal dunia selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu.

Mereka adalah antara tujuh pengunjung yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami beberapa simptom sama selepas menghadiri konsert.

Pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).