PETALING JAYA : Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung Pengampunan Diraja ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu merupakan salah satu bidang kuasa Seri Paduka Baginda yang telah termaktub dan tiada pihak yang boleh campur tangan.

"Saya rasa ada dua bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong yang kita tidak boleh campur tangan. Pertama, dari segi pengampunan, walaupun ada majlisnya dan korumnya, namun kata putus itu adalah hak baginda.

"Jadi, apa pun isu berkaitan dengan Datuk Seri Najib, saya rasa kita serahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

"Tentang yang keduanya, penganugerahan darjah kebesaran, itu memang dua perkara memang hak mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi, biarlah kita serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong kita," katanya kepada media semasa menghadiri dan melancarkan program penyerahan bakul Rahmah sumbangan Grab Malaysia kepada rakan pemandu dan penghantar Grab di Grab Driver Centre (GDC) Axis di sini pada Selasa. 

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memohon pertimbangan agar Yang Dipertuan Agong memberi pengampunan penuh kepada Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata pertimbangan tersebut selaras dengan kuasa Seri Paduka Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam proses penilaian permohonan Pengampunan Diraja bagi Datuk Seri Najib Razak.
 
Perdana Menteri bagaimanapun berpendapat, tidak timbul sebarang konflik mengenai kedudukan beliau ketika ini untuk menjadi sebahagian daripada proses tersebut.