SHAH ALAM : Pengadu kes melibatkan Madrasah Darussolohin yang tular baru-baru ini didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah (2) Shah Alam pada Isnin kerana didapati membuat laporan dan memberi maklumat palsu kepada polis.

Begitupun,  Zuraina Zamri yang  berusia 45 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, mahkamah menetapkan 15 November 2022 untuk tarikh perbicaraan kes tersebut.

Tambah beliau, tertuduh dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000 sementara menunggu perbicaraan .

“Hakim juga memberi amaran kepada tertuduh untuk tidak memberikan sebarang kenyataan melampau yang menyentuh kes perbicaraan yang sedang berjalan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohd Iqbal turut mengesahkan menerima dua laporan polis daripada anak pengadu dengan yang pertama adalah pada 23 Ogos lepas, mengatakan dia tidak dipukul pihak madrasah.

Begitupun, pada 25 September lepas, anak kepada pengadu sekali lagi membuat laporan polis dan kali ini mendakwa, dia dipukul oleh pihak madrasah.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut terhadap mangsa di Hospital Shah Alam mendapat tiada sebarang kecederaan dikesan pada badan mangsa.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan kemudian dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum diputuskan No Further Action terhadap kes berkenaan.

Baru-baru ini, kes ‘penderaan’ di madrasah tersebut tular apabila pengguna laman sosial berkongsi kronologi dan video adiknya yang didakwa dipukul dan didera secara fizikal di madrasah tersebut.

Pendedahan itu mendapat perhatian meluas dengan beberapa pihak termasuk madrasah itu sendiri mengeluarkan kenyataan menafikan sebaran tersebut.

Bahkan, media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan tersebut kepada pihak polis.