Kumpulan penyelidik Malaysia yang diketuai oleh Professor Dr Badrul Munir Md Zain dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerbitkan satu artikel di dalam jurnal antarabangsa Biodiversitas (April 2019) mengenai kehadiran spesies kongkang yang tidak pernah direkodkan di Malaysia iaitu Kongkang Benggala, Nycticebus bengalensis (Bengal Slow Loris). Sebelum kajian ini dijalankan, ahli primatologi (penyelidik bidang primat) beranggapan hanya satu spesies kongkang sahaja yang bertaburan di Semenanjung Malaysia iaitu Kongkang Sunda, Nycticebus coucang (Sunda Slow Loris).
Prof Dr Badrul Munir Md Zain yang telah mula menjalankan kajian sejak 25 tahun yang lepas di dalam bidang primatologi juga merekodkan di dalam catatan jurnalnya bahawa kajian perlu dijalankan dengan lebih lanjut untuk menilai status populasi Kongkang Benggala di Malaysia khususnya menilai sama ada berlakunya hibrid bersama populasi Kongkang Sunda di Pulau Langkawi dan kawasan-kawasan lain. Untuk rekod, pada tahun 2016, Dr. Jeffrine Rovie Ryan Japning, ketua pegawai penyelidik Jabatan Perhilitan Malaysia juga melaporkan penemuan semula subspesies Kongkang Sunda yang dianggap telah pupus dari Pulau Tioman iaitu Nycticebus coucang insularis.
Musuh sebenar kongkang di bumi Asia ini sebenarnya adalah manusia sendiri! Kongkang terlibat dengan pemerdagangan haiwan yang sangat dahsyat di seluruh kawasan taburannya tanpa mengira sempadan negara. Mengikut kajian yang dijalankan oleh University of Queensland, Australia, masyarakat Asia mempunyai anggapan bahawa kongkang mampu mengubati sehingga 100 penyakit yang berbeza termasuk penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung, kencing manis dan lain-lain. Penulis sebagai ahli primatologi juga pernah menerima tempahan dari beberapa orang untuk menyimpan jari, kuku, mata dan gigi kongkang jika menemuinya dengan bayaran yang lumayan! Sedihnya, ini bukan hanya dibuat oleh masyarakat luar bandar sahaja, malah oleh golongan yang berpendidikan tinggi! Lebih aneh lagi, terdapat kepercayaan bahawa kongkang sangat mujarab digunakan di dalam amalan ilmu hitam bagi tujuan yang tidak baik.
Tidak cukup dengan kepercayaan karut, kongkang yang secara semulajadinya kelihatan menarik dan comel ini juga dijadikan sebagai haiwan peliharaan dan dijual secara terbuka di media sosial. Carian mudah penulis di facebook menunjukkan dua iklan jualan kongkang yang ditawarkan secara terbuka pada 8 April 2019 dan 19 April 2019. Kongkang merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 716 (Jadual Kedua) dan juga di peringkat antarabangsa, kesemua spesies kongkang telah dimasukkan kedalam Lampiran 1 Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) pada tahun 2007. Dalam erti kata lain, sebarang transaksi jual beli, menyimpan kongkang atau mana-mana bahagian kongkang tanpa kebenaran yang sah boleh disabitkan kesalahan di Malaysia!
Mempunyai khazanah warisan alam yang pelbagai seperti kongkang di Malaysia merupakan satu kebanggaan buat kita sebagai rakyat. Kekayaan ini tidak dapat dibeli, dibina mahupun dihasilkan semula jika hilang suatu hari nanti. Kesedihan kita pada laporan yang menyatakan bahawa Badak Sumbu Sumatera sudah tidak ditemui lagi di Hutan Simpan Ulu Segama, Hutan Simpan Ulu Malua dan Rizab Hidupan Liar Tabin di Sabah membuktikan bahawa kita tidak mampu mengundur semula masa. Oleh itu, masyarakat Malaysia harus sama-sama berusaha untuk memastikan perkara yang sama tidak berlaku pada kongkang dan mula memberi perhatian yang serius pada aktiviti pemerdagangan kongkang yang berlaku di media sosial! Hentikan kepercayaan karut mengenai khasiat perubatan kongkang! Hentikan pemilikan kongkang sebagai haiwan peliharaan! Bersama kita pastikan generasi akan datang masih mengenali dan boleh menjumpai kongkang di persekitaran semulajadi!
*Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar ialah Penyelidik di Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI