Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden penemuan mayat pasangan suami isteri, pada petang Sabtu.

Pasangan malang itu dipercayai terjatuh dari bot ketika menangkap ketam kira-kira 5 batu nautika, dari Kuala Perlis.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd ketika dihubungi memaklumkan kes masih dalam siasatan pihaknya, dan melihat kepada keadaan mayat, tiada kesan unsur jenayah.

BACA: Mayat suami isteri ditemui terapung di Kuala Perlis


Menurut Noor Mushar, lokasi kejadian antara perairan Kuala Perlis–Langkawi, manakala mayat ditemui saling berpelukan di Pulau Dayang Bunting, Langkawi.

Polis turut menemui bot mangsa dalam keadaan enjin masih hidup, yang bergerak perlahan di kawasan sekitar Pulau Dayang Bunting.

Mayat pasangan suami isteri itu dikenalpasti sebagai Mohd Zaini Panjang Karim, 55, dan isterinya Azizah Yatim, 49 tahun dibawa ke pelantar Jeti Kastam Kuala Perlis pada 5.15 petang Sabtu untuk dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar bagi proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Dalam pada itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah dalam satu kenyataan memaklumkan ketika bot peronda tiba di kawasan penemuan mayat, keadaan laut bergelora dan angin kuat.

Jenazah dikebumikan pagi ini, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wai.