KUALA LUMPUR: Penemuan tapak arkeologi Gobeklitepe dan Karahantepe di Sanliurfa, Turki bakal membuka lembaran baharu dalam kajian prasejarah ketamadunan dan perkembangan manusia.

Pensyarah Kanan, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Nasha Rodziadi Khaw berkata hasil ekskavasi ini dapat menyumbang perkembangan ilmu dan kebudayaan.

"Saya merasakan, kajian perbandingan dari segi teknologi serta kebudayaan material antara tapak Gobeklitepe dengan tapak-tapak zaman Neolitik dan logam di Malaysia dapat memberi maklumat mendalam mengenai masalah lampau.

"Antara contoh yang boleh kita jangkakan adalah dari segi teknologi pembuatan tembikar, perkembangan kebudayaan tempatan dan sebagainya," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.


[TERKINI] Penemuan 'syurga' terbaharu buat ahli arkeologi

BACA: Gobeklitepe 'syurga' terbaharu ahli arkeologi

Mengambil kira konteks Malaysia, beliau berpandangan usaha ekskavasi tapak-tapak arkeologi di negara ini perlu diperluas seiring memperkaya naratif masa lampau termasuk menghubungkan Malaysia dengan perkembangan kebudayaan di negara lain.

"Kita tahu Kedah Tua merupakan tapak perdagangan antarabangsa dan pada masa yang sama ia juga berkembang sebagai satu pusat penghasilan besi yang dapat dipertarikhkan pada sekitar kurun kedua atau kurun ketiga Masihi.

"Jadi kajian kita terhadap tapak-tapak peleburan besi dan tapak perdagangan antarabangsa ini dapat menghubungkan Malaysia dengan dunia luar.


Peradaban Manusia | Gobekli Tepe 'syurga' terbaharu ahli arkeologi

"Ia dapat melihat Malaysia bukan sahaja sebagai satu kebudayaan yang berkembang peringkat serantau, tetapi ia sentiasa miliki perkaitan dari segi perkongsian teknologi dan kebudayaan dengan tamadun-tamadun besar dunia yang lain," katanya.

Gobeklitepe dipercayai merupakan sebuah pusat aktiviti sosial tertua di dunia setakat ini, terbina ketika Zaman Batu Baharu atau Neolitik, kira-kira 10,000 sebelum Masihi atau sekitar 12,000 tahun yang lalu.

Ia dipercayai dibina kira-kira 7,000 tahun lebih awal sebelum pembinaan piramid dan Stonehenge, malah sebelum terciptanya seni penulisan mahupun roda untuk pergerakan manusia serta pengangkutan.


Krew Astro AWANI berada di Sanliurfa, Turki sempena Simposium Tas Tepeler, The Land of Transformation di bawah kelolaan Kementerian Budaya dan Pelancongan Turki.