Kebimbangan penduduk Taman Puncak Setiawangsa akan berulang setiap kali hujan lebat berpanjangan. Bimbang kejadian tanah runtuh akan berulang, ia umpama mimpi ngeri buat mereka.

Yang diharapkan, insiden tanah runtuh pada Disember 2012 menjadi yang pertama dan terakhir yang dialami mereka.

Menurut penduduk, kerja-kerja pengukuhan cerun baru bermula April lalu oleh kontraktor yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL dan mungkin menjadi satu-satunya penyelesaian kepada masalah yang dihadapi mereka.

Bagi Shamsuddin Yusoff, pihak bertanggungjawab perlu melakukan sesuatu bagi memberi keyakinan kepada penghuni di kawasan tersebut.



Begitu juga bagi Datuk Dr Ismail Noor, Penasihat Surau ArRasyidin, Taman Puncak Setiawangsa, "Kita rasa selamat juga sebab DBKL beberapa kali mengadakan mesyuarat (bersama persatuan penduduk) memaklumkan berkenaan perancangan tindakan agar kejadian sama tidak berulang.”

Seorang lagi penduduk, Datin Noor Adlena Abu Hassan menyifatkan bongkah batu yang masih kelihatan di sekitar kawasan bekas runtuhan amat merisaukan.

Tambahnya, “dengan musim hujan sekarang ni, air merah yang mengalir dari cerun berkenaan amat menakutkan dan sebarang kemungkinan boleh berlaku”.

Tinjauan Astro AWANI mendapati dua lorong berdekatan lereng bukit telah ditutup untuk kerja-kerja pengukuhan cerun.

Untuk rekod, kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Setiawangsa pada Disember 2012 menyebabkan penduduk di sekitar kawasan berkenaan terputus hubungan.