Penduduk di perkampungan air Semporna gempar dengan penemuan mayat seorang bayi yang sedang dibaham dua ekor biawak pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supritendan Peter Ambuas dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai perkara itu, kira-kira jam 5.30 petang daripada penduduk di perkampungan berkenaan.

Menurutnya, pengadu mendakwa ternampak kelibat dua ekor biawak sedang membaham sesuatu di bawah rumah mereka yang terletak di atas air ketika sedang memandikan anaknya, kira-kira jam tiga petang.

Selepas diamati, dia terkejut apabila mendapati kedua-dua biawak itu sedang berebut memakan mayat bayi yang tidak sempurna.

Gambar dan video insiden yang menyayat hati dan pada yang sama mengerikan itu kini sudah viral di media sosial.

Dalam video itu, dua ekor biawak berkenaan merebut cebisan mayat bayi itu, sambil kedengaran suara beberapa orang sedang bertempik berikutan emosi yang bercampur geli, marah dan sedih.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Mayat bayi dibawa ke Hospital Semporna untuk bedah siasat.