TUMPAT: Kira-kira 4,000 penduduk kawasan pedalaman di Pulau Suri, Pulau Renjuna, Pulau Tokang dan Pulau Sri Tanjung di sini hari ini mendapat manfaat pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Perlu.


Ringkasan AI
  • Kira-kira 4,000 penduduk di beberapa pulau di Kelantan mendapat manfaat daripada harga subsidi untuk barang keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, gas petroleum cecair, dan petrol RON95.
  • Kerajaan menanggung kos pengangkutan untuk memastikan harga barang kekal rendah di kawasan pedalaman.
  • Program ini dijangka berterusan hingga April 2025 dan turut melibatkan Program Jualan Rahmah MADANI dengan diskaun 30% untuk 37 jenis barang keperluan asas.


Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata program itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup penduduk di kawasan berkenaan.

"Di empat Point Of Sale (POS) di empat pulau berkenaan, penduduk akan menikmati harga keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, dan gas petroleum cecair serta petrol RON95 secara bersubsidi.

"Di sini harga tidak lagi mahal kerana barang dibekalkan penghantar (transporter) yang mendapatkan barang daripada pembekal, menguruskan punca bekalan dan seterusnya menghantar serta menjual bekalan di POS," katanya.

Beliau berkata POS seterusnya akan menjual bekalan berkenaan pada harga ditetapkan dan kerajaan akan menanggung kos pengangkutan penghantar.

Azman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Penyeragaman Harga Barang Perlu, LPG dan Community Drumming Zin Tumpat di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini, KPDN Kelantan sudah menjalankan program sama di Dabong dan Pasir Kelang, Kuala Krai yang memberikan kelegaan kepada 10,000 penduduk di Pasir Kelang Baru, Pasir Kelang Lama, Kampung Takul, Estate Takul, Kampung Buyong dan Kampung Bahagia.

"Sebelum ini, mereka mendapatkan barang keperluan asas pada harga lebih tinggi kerana kos pengangkutan yang dikenakan.

"Hingga April 2025 kita jangka program ini akan diteruskan bagi manfaat kepada penduduk di pedalaman," katanya.

Azman berkata menerusi program penyeragaman harga itu penduduk pedalaman mampu menikmati barang keperluan asas sama seperti harga barang bersubsidi di bandar tanpa perlu menyeberangi sungai.

Dalam perkembangan sama, KPDN turut mengadakan Program Jualan Rahmah MADANI bergerak di Pulau Sri Tanjung melibatkan 37 jenis barang keperluan asas dengan pengurangan harga 30 peratus berbanding harga pasaran.

-- BERNAMA