Proses penggeledahan dan pembersihan telah pun selesai di Kampung Tanjung Labian di Lahad Datu. Penduduk kampung berkenaan akan memeriksa kawasan perumahan mereka esok dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing seawal hari Sabtu.

“Penduduk bersama pasukan penilaian akan memeriksa kerosakan, dan akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada hari berikutnya,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Ini akan melibatkan diantara 20 – 25 keluarga. Bagi keluarga di mana rumah mereka tidak boleh diduduki, mereka masih boleh menetap di pusat pemindahan.

Di Kampung Tanjung Batu pula, 21 keluarga, ketua kampung dan pasukan penilaian telah melakukan pemeriksaan di kampung berkenaan jam 10 pagi tadi.

“Terdapat kerosakan dan sesetengah rumah boleh dianggap sebagai musnah. Ada juga rumah yang boleh dibaik pulih dan mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing esok,” tambah beliau.

Tambah Hamza, pemantauan oleh pasukan keselamatan akan dijalankan sebagai prosedur untuk memulihkan keyakinan penduduk bila berada di kampung masing-masing.

“Kami tidak boleh mengesahkan kehadiran musuh-musuh, namun kami yakin jikalau ada pun, jumlahnya sedikit,” akhiri beliau.