Penduduk Lahad Datu terutama di sekitar kawasan konflik seperti di Tanjung Labian, Tanjung Batu dan Sungai Bilis diingatkan supaya tidak sesekali memasuki kawasan operasi pasukan keselamatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata ini kerana pasukan keselamatan ketika ini masih lagi memfokuskan operasi mereka di kawasan-kawasan tersebut berikutan masih terdapatnya lagi ancaman pihak pengganas selain berbahaya dan berisiko tinggi kepada penduduk.

“Pasukan keselamatan masih lagi memfokuskan operasi mereka di kawasan tersebut jadi masyarakat setempat diingatkan supaya tidak memasuki kawasan operasi ini,” kata Hamza kepada wartawan di Lahad Datu.

Usaha-usaha untuk mengeluarkan mayat yang masih lagi berada dalam kawasan operasi di Tanjung Batu juga masih giat dijalankan.

Sehingga kini 22 mayat telah ditemui, 18 mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Lahad Datu sementara selebihnya dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat.

“Walaupun saya sudah melihat mayat-mayat pengganas yang dijumpai itu, saya masih tidak dapat mengesahkan sama ada salah seorang mayat berpangkat Jeneral itu adalah Jeneral Hj Musa kerana tiada dokumentasi diri seperti kad pengenalan mahupun dokumen pengenalan diri yang lain ditemui bersama mayat itu,” beliau berkata.

Dalam masa yang sama juga, Hamza menegaskan keadaan keselamatan di Lahad Datu dan Semporna telah kembali kepada keadaan normal dimana segala urusan harian bandar berkenaan telah berjalan seperti biasa di bawah kawalan keselamatan pasukan polis dan tentera.