Pendaki solo berjaya tawan tiga Puncak Himalaya di Nepal
Bernama
Disember 27, 2015 08:31 MYT
Disember 27, 2015 08:31 MYT
Pendaki solo, Khairil Aslan Ab Rasid melakar sejarah apabila berjaya menawan tiga puncak Himalaya di Kathmandu, Nepal pada 20 Dis lepas.
Anak jati Batu Kurau, Taiping itu memberitahu kejayaan ekspedisi ketiga solonya melalui aplikasi Whatsapp kepada Ketua Bahagian Pelancongan dan Media Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Hanim Ramly.
Khairil Aslan, 40, berjaya menawan tiga puncak iaitu Puncak Maru, Lobuche dan Island dalam tempoh sebulan bermula pertengahan November.
Menceritakan perkara itu, Khairil Aslan berkata ketika itu cuaca sangat tenang dan dalam tempoh tiga jam pendakian cuma angin bertiup pada kelajuan sekitar 60 hingga 70 km/sejam adalah perkara biasa.
Menurut pendaki itu apabila tiba pada ketinggian 5,900 meter pada pukul 4 pagi, cuaca berubah dengan angin kencang dan suhu sejuk turun mendadak di Rabung Crampon Point dengan kelajuan tiupan sekitar 140 hingga 160 km/sejam.
"Suhu sejuk turun dengan tiba-tiba. Saya tetap teruskan pendakian walaupun dalam keadaan yang cukup kritikal. Angin waktu itu boleh menerbangkan kami bila-bila masa sahaja.
"Pada pukul 5.50 pagi kami berhadapan dengan detik cemas apabila kami bertiga tidak dapat menggerakkan badan disebabkan kesan sejuk yang terlampau," ceritanya pada Hanim.
Menurut Khairil Aslan akibat perubahan keadaan cuaca yang ekstrem itu beliau turut mengalami kesukaran bernafas dan merasakan secara perlahan-lahan terhenti.
Bagi mengawal keadaan jelasnya beliau bersama dua lagi rakan mendaki saling perpelukan sambil mengucapkan "La Illa Ila Allah" dan "Allahu Akbar".
Khairil Aslan berkata pada 6.45 pagi matahari muncul cepat dan beliau dapat memanaskan tubuh serta boleh bernafas bagi meneruskan perjalanan ke Rabung Crampon Point untuk berlindung dan kemudian ke puncak Island.
Hanim berkata Khairil Aslan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.40 malam ini.
"Semoga usaha Khairil Aslan mendapat sokongan semua pihak. Beliau sudi berkongsi pengalaman dengan para belia dan sesiapa yang berminat dengan ekspedisi," katanya.
Khairil Aslan berada di Kathmandu sejak pertengahan November lepas.