KUALA SELANGOR:LRA Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang yang terpaksa dihentikan tugas ekoran laporan terdapat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2.00 pagi tadi dijangka akan dapat kembali beroperasi petang ini.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ia berikutan sehingga kini tahap pencemaran di Sungai Selangor direkodkan semakin menipis dan dijangka dalam proses pemulihan.

"Kita jangka berdasarkan maklumat yang diperolehi ini, masih lagi ada lapisan nipis. Kita jangka sejam dua lagi kita akan mula beroperasi semula. Kalau dulu di Sungai Langat sampai sembilan ton, ini tiga ton. Sehingga 1.30 petang ini, bacaan sangat nipis dan sangat cepat untuk kita sambung semula bekalan.

"Dalam tempoh 24 jam air akan dibekalkan, Insyallah," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Muka Sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 pada Isnin.


BACA: Pencemaran Sungai Selangor dijangka diatasi petang ini - Amirudin

BACA: Pencemaran Sungai Selangor: Ganjaran RM20,000 kepada pemberi maklumat - Exco

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan media memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku hari ini melibatkan lebih satu juta akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ia berikutan LRA Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas ekoran terdapat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2.00 pagi.