Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kesemua 404 pemilik kediaman kos rendah itu merupakan pekerja dari empat ladang iaitu Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang selama ini tinggal di perumahan sementara di Taman Permata, Dengkil.
"Alhamdulillah hari ini kita akan menyerahkan projek ini. Ini adalah projek PPR Ampar Tenang yang dahulunya kawasan ini didiami oleh peladang dari estet milik Sime Darby Berhad.
"Atas kerjasama dan kesungguhan kerajaan Malaysia MADANI, maka penantian 10 tahun ini akan berakhir di sini," katanya kepada pemberita selepas melawat unit rumah contoh di PPR berkenaan hari ini.
Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata proses penyerahan kunci kepada pemilik akan selesai tahun ini bagi membolehkan mereka memasuki kediaman masing-masing.
"Penyerahan kunci akan berjalan terus selepas Jabatan Perumahan Negara ambil alih, nanti kita akan maklumkan. Kalau boleh selesai dalam tahun ini juga insya-Allah," katanya.
Beliau berkata unit kediaman teres satu tingkat berkeluasan 750 kaki per segi itu mula dibina pada 1 Ogos 2017 serta menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Dis 2024.
Projek yang turut menyediakan empat unit rumah kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) itu, katanya menggunakan peruntukan Tabung Kumpulan Amanah PPR sebanyak RM88 juta selain dilengkapi kemudahan seperti dewan komuniti, taman permainan dan kawasan lapang.
"Dasar kita, setiap perumahan mesti ada satu peratus (kuota) OKU. Pembeli hanya perlu bayar RM20,000 sahaja sebab subsidi RM50,000," katanya.
Projek PPR Ampar Tenang merupakan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor melalui pengambilan tanah estet milik Sime Darby Berhad seluas 12.14 hektar bernilai RM15 juta.
-- BERNAMA