Hakim, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap terhadap Norasid Md Said, 50, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mengajar ajaran salah kepada anak lelakinya yang berusia 16 tahun dengan menyatakan 'akan ada Nabi selepas Nabi Muhammad'.
Kesalahan itu dilakukan pada 1 Jun hingga 30 Jun 2023 di antara jam 8 malam hingga 11.59 malam di sebuah rumah di Felda Palong 3, Gemas di Tampin.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, pindaan 2019.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dan memberitahu tidak mampu membayar jumlah denda yang tinggi kerana tidak bekerja.
Dia memohon hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 10 Julai lalu.
Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Ramli memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih berat, kerana mengajar ajaran salah adalah kesalahan berat yang berkaitan kesucian agama Islam.
Katanya, pada minggu lalu juga tangkapan telah dibuat di Johor dan ini menunjukkan ajaran ini telah tersebar luas.
Tambahnya, tertuduh juga pada 11 Julai lalu telah dituduh mengajar ajaran ini kepada isterinya dan kali ini pula dituduh mengajar anaknya.
"Saya mohon mahkamah menetapkan hukuman yang dapat menyekat atau sebagai satu amaran kepada pengikut lain supaya takut dengan tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap mereka jika berterusan mengamalkan ajaran ini," katanya.
Selain itu tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah seksyen sama iaitu mengajar ajaran salah kepada seorang wanita berusia 46 tahun berkaitan ayat al-Quran yang berlawanan dengan hukum syarak.
Kesalahan itu dilakukan pada 24 April 2023, lebih kurang di antara jam 5 petang di sebuah rumah di Taman PGHB Harmoni, Gemas di Tampin.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober depan sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan, tiga beranak dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan JHEAINS dalam serbuan di dua buah rumah berasingan di Sungai Kelamah, Gemas dan Palong 3, Jempol pada Rabu.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pasangan suami isteri berusia 40-an serta anak lelaki mereka berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang. -- Sinar Harian