Pemulihan bekalan air ke semua kawasan yang terjejas di Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka berjaya dilaksanakan Air Selangor dalam tempoh tiga hari berbanding jangkaan awal enam hari dan siap sepenuhnya sebelum sambutan Krismas hujung minggu ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya berkata status pemulihan bekalan air ke semua kawasan yang terlibat telah selesai sepenuhnya bagi Zon 1 dan 99.5 peratus bagi Zon 2.

Jelasnya, berdasarkan laporan yang diterima setakat jam 7 pagi ini, Air Selangor telah berusaha sepanjang waktu bagi menyegerakan pemulihan bekalan air ke semua kawasan terjejas dengan pantas.

"Saya merakamkan penghargaan kepada kakitangan Air Selangor dalam menyegerakan pemulihan bekalan air ke semua kawasan terjejas dengan pantas kepada pengguna khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah," katanya dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan program galakan kakitangan kerajaan menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja sekali seminggu di sini hari ini.

Zon terbabit melibatkan kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Manakala kawasan Klang yang hanya masih berada pada tahap 96 peratus pemulihan.

Gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur berlaku secara berperingkat sejak 8 pagi Isnin lepas berikutan kerja penyelenggaraan pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bukit Badong, Kuala Selangor, mengakibatkan loji-loji rawatan air utama ke kawasan Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat beroperasi.