Pemuda UMNO Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana didakwa memfitnah Barisan Nasional (BN) berhubung cadangan pelantikan Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebagai timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketuanya Zainuri Zainal berkata Menteri Besar Selangor itu perlu dipanggil memberi keterangan memandangkan kenyataan beliau bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan membayangkan penghinaan terhadap kedudukan Majlis Raja-Raja.

"Kenyataan Mohamed Azmin adalah tidak tidak ikhlas, berniat jahat dan tidak berasas apabila memberi gambaran seolah-olah pelantikan timbalan pengerusi SPR 'diatur'.

"Sekiranya perkara tersebut tidak berlaku, ini merupakan satu fitnah yang cuba disensasikan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri dan menghina kedudukan Majlis Raja-Raja," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Hadir sama setiausaha Pemuda UMNO negeri, Datuk Ahmad Mua'adzam Shah Ya'akop dan ketua Pemuda bahagian Petaling Jaya Utara, Mohd Fakhzan Md Noor.

Pada 3 Nov lepas, Mohamed Azmin dilapor mendakwa di sidang Dewan Negeri bahawa BN mengemukakan cadangan supaya Shukri, yang merupakan bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri, dilantik sebagai timbalan pengerusi SPR, tetapi ia tidak diterima Majlis Raja-Raja.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad dalam satu kenyataan pula berkata kertas cadangan pelantikan Shukry sebagai timbalan pengerusi SPR tidak dibentang di mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Beliau menjelaskan bahawa kertas cadangan bagi tujuan itu telah ditarik balik dan ini telah dimaklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja bersidang. -- BERNAMA