Ringkasan AI
- Team Liquid Indonesia (TLID) bertemu Fnatic Onic Filipina (FNOP) di pentas akhir kejohanan MLBB M6 pada Ahad.
- Malaysia menjadi tuan rumah kali kedua kejohanan MLBB M6, dengan 23 pasukan bersaing untuk merebut gelaran juara dan hadiah utama AS$1 juta.
- Penganjuran kali kedua M series di Malaysia bertujuan mengembangkan e-sukan dan mempamerkan kemampuan Malaysia sebagai hab e-sukan dunia.
Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Moonton Games, Fikri Rizal berkata, meskipun Selangor Red Giants (SRG) tewas kepada TLID dalam perlawanan penentuan dua finalis pada Sabtu, peminat e-sukan tempatan tetap menunjukkan sokongan terhadap pasukan bertanding.
"Hari ini juga berlangsung perlawanan 'best of seven' di mana Fnatic ONIC Phillipines dan juga team Liquid dari Indonesia akan berentap. Kita bukan sekadar menonton perlawanan.
"Hari ini juga berlangsung upacara pembukaan juga seperti persembahan oleh penyanyi Faizal Tahir dan Orkestra Kuala Lumpur buat pertama kalinya dalam sejarah e-sukan termasuk pelbagai pengumuman yang akan dilakukan termasuk penganjuran M7 yang akan berlangsung pada tahun depan," katanya.
Malaysia menjadi tuan rumah kali kedua kejohanan antarabangsa ‘Mobile Legends: Bang Bang’ (MLBB) M6 yang mempertemukan ‘Gamers’ dari serata dunia untuk merebut gelaran juara bagi edisi keenam.
Sejak 21 November lalu, 23 pasukan bersaing di IOI City Mall, Putrajaya sebelum hari penentuan juara yang akan membawa pulang hadiah utama AS$1 juta pada 14 Disember (Ahad).
Menurut Fikri, penganjuran kali kedua M series di Malaysia oleh Moonton Games merupakan usaha mereka untuk mengembangkan e-sukan di Malaysia.
Pada masa sama, ia mempamerkan kemampuan Malaysia menganjurkan acara berkualiti tinggi dengan matlamat meletakkan Malaysia sebagai antara hab e-sukan dunia.
Sebelum ini, menurut Fikri, orang ramai mempunyai tanggapan negatif terhadap e-sukan. Oleh itu, kolaborasi di antara Moonton Games dan Astro melalui karnival M6 x Astro dapat membantu lebih ramai orang memahami potensi permainan ini.
Selain itu, tambahnya, ia juga dapat menyatukan komuniti pemain dan Astro sebagai 'Home Of Entertainment Experience'.
"Kepada anak-anak Malaysia, kami berharap anda terus menyokong dan kekalkan minat dalam bidang ini kerana kami akan sentiasa menyokong.
"Atas sebab itu kami anjurkan M6 di Malaysia untuk mempamerkan kualiti pengalaman e-sukan terbaik kepada rakyat Malaysia.
"Yang kedua, pada tahun hadapan, belia yang berkelapangan boleh datang ke Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia kerana dua pasukan terbaik akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa," katanya.