Kepimpinan negara perlu mengecam dan membuat rundingan damai untuk melepaskan tahanan kapal Zaytouna-Olivia berserta tiga krew dan 10 orang anak kapal setelah ditawan oleh tentera Israel kira-kira 8.58 malam tadi.

Presiden Malaysia Palestine Youth Movement (MPYM), Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ia juga tanggungjawab semua pemimpin-pemimpin dunia untuk membantu usaha melepaskan semua sukarelawan yang ditahan Israel.

"Ini bukan isu yang kecil tapi mengenai keselamatan dan kemanusian sejagat.

Saya tahu, walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil tapi para pemimpin serta rakyatnya mempunyai hati dan jiwa yang besar terutama bila menyentuh isu Palestin.

"Saya mohon seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, bangsa mahupun fahaman politik untuk mendoakan keselamatan semua mangsa yang ditahan. Sama-sama kita doakan yang terbaik buat semua," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Armand yang turut mewakili Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia memberitahu, tindakan Israel itu langkah melanggar hak kemanusiaan dunia.

"Mereka dalam misi bantuan kemanusiaan dan pastinya menimbulkan kemarahan dunia apabila ditahan," jelasnya.

Turut berada di dalam kapal berkenaan ialah wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan.

Kapal Zaytouna yang dalam misi 'Women's Boat To Gaza' (WBG) itu ditunda oleh tentera Israel menuju ke pelabuhan Ashdod.

Flotila WBG adalah sebahagian dari kumpulan Freedom Flotilla Coalition yang lebih besar, dengan misi yang sama untuk membantah sekatan Yahudi di bumi Gaza.