Pemilik yang sewa premis kepada sindiket jual barang tiruan berdepan tindakan AMLA
Bernama
Disember 17, 2020 22:43 MYT
Disember 17, 2020 22:43 MYT
KUALA LUMPUR: Pemilik premis yang didapati menyewa premis mereka kepada sindiket penjualan barangan tiruan akan didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata tindakan akan diambil terhadap mereka di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 kerana bersekongkol dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik premis yang didapati melakukan aktiviti sewa premis kepada sindiket yang menjalankan perniagaan menjual barangan tiruan mengikut AMLA.
"Mereka (pemilik) sepatutnya bertanggungjawab dengan menyemak latar belakang penyewa terlebih dahulu sebelum membuat keputusan dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis pelupusan perdana barangan tiruan yang dirampas di Kompleks Sentral Segambut hari ini.
Beliau berkata selain itu, pihaknya akan turut melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya didapati ada premis yang digunakan untuk tujuan penjualan barangan tiruan itu.
"Kami juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen sekiranya sindiket penjualan barangan tiruan ini membabitkan warga asing, selain menggunakan semua undang-undang sedia ada bagi membanteras kegiatan ini," tegasnya.
Terdahulu, Hasnol menyaksikan pelupusan barangan tiruan seperti pakaian, beg tangan, minyak wangi dan minuman keras yang dirampas dari tahun 2018 hingga tahun ini bernilai RM2.4 juta melibatkan 110 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Sementara itu, katanya jumlah pelupusan di Kuala Lumpur tahun ini melibatkan barang yang dirampas dalam 327 kes, dengan nilai keseluruhan RM6.3 juta.
-- BERNAMA
#pengubahan wang haram
#pemilik premis
#sindiket penjualan barangan tiruan
#Hasnol Zam Zam Ahmad
#AMLA