Pemilik syarikat produksi bergelar datuk ditahan, bantu siasatan kes forex
Bernama
Mei 15, 2018 06:28 MYT
Mei 15, 2018 06:28 MYT
Pemilik syarikat produksi bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan Global Wave Gold Forex (GWGFX) dan Bitcoin Bitkingdom, melibatkan 23 laporan polis dengan jumlah kerugian sebanyak RM13.9 juta.
Menurut sumber, suspek yang berusia 35 tahun itu telah ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Ketua Polis Negara (AMLA) di Menara 238, Jalan Tun Razak kira-kira 5.30 petang Isnin.
Permohonan reman bagi suspek akan dilakukan 10 pagi hari ini.
Suspek merupakan seorang pemilik sebuah syarikat produksi yang pernah bekerjasama dalam pembikinan sebuah filem terkenal tempatan.
Penahanan suspek itu susulan laporan penipuan pelaburan oleh seorang wanita berusia 47 tahun. Menurut laporan, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk Paduka Shakiran pada awal September 2014.
Mangsa telah ditawarkan untuk menyertai satu skim pelaburan di mana skim tersebut didakwa mampu memberi keuntungan berlipat ganda kepada mangsanya.
Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya tertipu selepas tidak memperoleh sebarang bayaran keuntungan seperti yang dijanjikan lalu membuat laporan polisdi Balai Polis Kajang pada 2 Nov tahun lepas.
-- BERNAMA
#AMLA
#Datuk Paduka Shakiran
#filem
#forex
#GWGFX
#Kajang
#mangsa
#pelaburan
#penipuan
#polis
#siasatan
#suspek
#syarikat produksi
#wanita