Pemilik bangunan dan majikan mestilah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meningkatkan kualiti udara bagi mencegah penyebaran COVID-19 melalui sistem penyaman udara.

Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan hari ini berkata pemilik bangunan, pejabat dan pusat beli-belah mestilah mengambil perhatian atas nasihat pihak berkuasa dan mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti udara dalaman apabila tempat kerja tersebut dibuka semula selepas lebih 50 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.

"Apabila orang mula kembali bekerja selepas tempoh PKP, kualiti udara dalaman di pejabat dan tempat kerja harus menjadi keutamaan.

"Oleh itu tanggungjawab semua pemilik bangunan dan majikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan dan memastikan peredaran udara yang betul serta meningkatkan pengudaraan di semua bangunan dan tempat kerja," katanya.

Lee berkata selepas kekal selamat dan berada di dalam rumah selama ini, pekerja berhak untuk kembali bekerja di persekitaran yagn selamat dan sihat.

Keselamatan dan kesihatan pelanggan dan orang ramai juga harus terjamin dan dilindungi," katanya.

-- BERNAMA