Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan tiga negeri lagi memulakan proses pemilihan hari ini iaitu Perlis, Kedah, dan Sabah.

Sabah dijangka memberikan impak yang besar pada keputusan pemilihan sekarang kerana mempunyai jumlah yang cabang PKR yang besar iaitu sebanyak 26 cabang terlibat dalam proses undian tersebut.

Kedah turut mempunyai jumlah cabang parti yang banyak iaitu sebanyak 15 cabang, manakala Perlis mempunyai tiga cabang.

Menurut laporan media tempatan The Star, ini mungkin memberi kelebihan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam saingannya merebut jawatan Timbalan Presiden menentang penyandang jawatan itu, Mohamed Azmin Ali.

Ini kerana ahli PKR di negeri itu dikatakan mempunyai persepsi negatif terhadap Azmin.

Azmin mendahului persaingan merebut jawatan tersebut dengan 5,111 undi setakat ini.

Selain Azmin dan Abdul Khalid, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution turut bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden itu.

Sementara itu, penyandang jawatan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendahului saingannya yang lain dengan 5,610 undi.

Undian tertinggi berikutnya diperolehi oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dengan 5,018 undi, diikuti oleh Tian Chua yang juga merupakan Naib Presiden parti dengan 4,833 undi.

bagi jawatan Ketua Wanita, penyandangya Zuraida Kamaruddin mendahului saingan dengan 1,789 undi manakala pencabarnya Rodziah Ismail memperolehi 1,106 undi.

Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula, Amiruin Shari mendapat undi tertinggi iaitu 777 dan disusuli dengan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendapat 739 undi dan Mohd Nazree Yunos dengan 720 undi.

Maklumat keputusan rasmi undian setakat ini telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR. Proses pemilihan ini berlangsung dari 26 April hingga 11 Mei.

Keputusan akhir dijangka akan diumumkan pada 13 Mei 2014 nanti.