PETALING JAYA: “Saya tidak lena tidur malam…”

Demikian luah seorang penduduk di Aparment Idaman, di sini, sejak kematian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang disahkan  dibunuh selepas mayatnya ditemukan pada Rabu malam lalu.

Menurut Norlin Rabikat, 44, dia juga tidak membenarkan tiga anaknya keluar dari rumah selagi suspek kes bunuh kanak-kanak malang itu tidak ditangkap.

“Saya rasa tak tenang sebab kes ini sudah memasuki hari keempat tetapi masih tak dapat kesan suspek. Jadi saya memang tak boleh tidur malam sebab risau.

“Kalau dulu, kanak-kanak main (taman permainan) pun, kita nampak situasi di sini,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.

Berkongsi lanjut, pembantu setiausaha di sebuah syarikat swasta itu berkata, masih takut dengan kejadian yang menimpa Allahyarham Zayn Rayyan.

Jelasnya lagi, sejak hampir 20 tahun tinggal di kawasan itu, kes sedemikian adalah pertama kali berlaku.

“Saya harap ibu bapa boleh awasi anak masing-masing agar kejadian sama tidak berulang,” tambahnya.

Foto Astro AWANI

Berkongsi perasaan sama, pemandu lori, Mohd Noraidi Mat Isa, 43, berkata disebabkan kejadian tersebut, kanak-kanak tidak lagi berani untuk turun bermain di taman permainan yang terletak berhampiran Blok R.

Ceritanya, taman permainan tersebut yang turut menjadi lokasi kegemaran Allahyarham Zayn Rayyan, kini sudah lengang.

“Memang saya tak bagi anak saya keluar rumah dan merayau macam dulu lagi.

“Kita risau… bila kita pergi bekerja pun biar anak kat sini (rumah), pun rasa risau.. tak macam dulu.

“Kalau boleh pihak polis tangkap penjenayah ini secepat mungkin, lagi baik,” ujar bapa kepada lima anak itu.

Foto Astro AWANI

Sementara itu, pengurus restoran, Khairudin Azri Harun, 42, berharap pihak berkaitan dapat meningkatkan aspek keselamatan di kawasan berkenaan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Saya pun ada dua orang anak autistik.

“Jadi saya rasa keadaan di sini sekarang (macam) menakutkan.

“Sebab sebelum ini ramai kanak-kanak bermain di kawasan ini, tapi sekarang dah tiada,” katanya yang sudah 25 tahun menetap di Apartment Idaman.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan polis mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) 228 penduduk Apartmen Idaman bagi membantu siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Kesemua sampel DNA itu diambil secara beramai-ramai daripada sebahagian penduduk di 18 blok apartmen berkenaan termasuk Blok R.