KUALA LUMPUR: Operasi pencarian bahan bukti kes pembunuhan Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah di Sungai Trolak, Kampung Batu, Perak ditangguhkan berikutan kenaikan paras air akibat hujan lebat.


Ringkasan AI
  • Penangguhan Operasi: Operasi pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah di Sungai Trolak, Perak ditangguhkan kerana kenaikan paras air akibat hujan lebat, yang menjadikan keadaan tidak selamat.
  • Pemantauan Paras Air: Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim menyatakan bahawa operasi akan diteruskan semula setelah paras air kembali normal. Pasukan pencarian terdiri daripada unit forensik PDRM dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hulu Selangor.
  • Penemuan Bahan Bukti: Sebelum ini, polis telah menemukan telefon pintar dan beg tangan yang dipercayai milik mangsa di lokasi pembunuhan. Teman lelaki mangsa, seorang anggota polis, telah ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pasukan pencarian membuat keputusan itu selepas pemantauan dua jam dan mendapati keadaan itu tidak selamat untuk operasi diteruskan.

"Pasukan pencarian tiba di lokasi pada pukul 10.30 pagi dan selepas pemantauan dua jam, pasukan pencarian mengambil keputusan untuk menangguh operasi pada pukul 12.30 tengah hari kerana paras air masih belum kembali normal," katanya di sini pada Jumaat.

Ahmad Faizal  memberitahu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim akan mengemas kini paras air di sungai tersebut bagi membolehkan operasi diteruskan semula.

Katanya, pasukan pencarian yang dilakukan unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor perlu menunggu sehingga paras air kembali normal.

Sebelum ini, polis menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa dipercayai di lokasi utama pembunuhan, manakala beg tangan di lokasi kedua iaitu Sungai Trolak pada Rabu.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di ladang kelapa sawit terbabit pada pukul 6 petang.

Susulan itu, teman lelaki mangsa yang merupakan seorang anggota polis  ditahan reman sehingga 22 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.