KUALA LUMPUR: Setelah lebih setahun tidak bertemu, akhirnya sebuah keluarga kembali bersatu pada hari pertama pembukaan semula pintu sempadan hari ini.

Mohd Shafiq Riswan Waris, 25, berpisah dengan datuk, nenek serta ibunya sejak November 2020 susulan mendapatkan rawatan, menyatakan kegembiraannya dapat berjumpa individu-individu yang disayanginya.

"Datuk saya ke India bagi mendapatkan rawatan buah pinggang, ditemani nenek dan ibu, yang kini kembali pulang susulan kelonggaran SOP kuarantin.

"Kini datuk kembali dengan tahap kesihatan yang baik dan kelonggaran SOP ini memudahkannya untuk terus bersama keluarga tanpa dikuarantin," katanya di balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi Jumaat.

Mohd Shafiq Riswan Waris, 25 tahun berpisah dengan datuk dan ibunya sejak November 2020 susulan datuknya menerima rawatan di India - Foto/AstroAWANI/Hafizi Rosli

Kata Shafiq, ketika membeli tiket penerbangan pada Februari lalu, tarikh sepatutnya penerbangan adalah pada 27 Mac.

Namun apabila pengumuman kelonggaran SOP dan pembukaan pintu sempadan ini, mereka menukar tarikh ke 1 April kerana ingin menikmati kelonggaran SOP terutama syarat tanpa kuarantin.

Sepeninggalan datuknya ke India, Shafiq terpaksa menggalas tugas yang besar iaitu menguruskan 15 restoran serta dua hotel yang diusahakan datuknya di sekitar Johor dan Melaka.

"Saya merupakan cucu pertama datuk dan dia memberikan kepercayaan kepada saya untuk menguruskan perniagaan.

"Mencabar juga terpaksa menguruskannya namun saya dan datuk selalu berkomunikasi untuk bertanya khabar serta urusan perniagaan," katanya.

Jelas Shafiq, bulan Ramadan akan tiba ini pastinya amat bermakna kerana dapat berkumpul sesama ahli keluarga.


AWANI Pagi: Buka Sempadan: Rentas Jambatan Endemik