Jelas beliau, projek tersebut mampu menyumbang kepada sektor pelancongan sekaligus memberikan impak yang baik kepada ekonomi negeri.
"Saya berharap kerajaan negeri dapat memberikan pertimbangan kelulusan untuk pembinaan projek Patung Mazu (Dewi Laut) di Kudat.
"Sudah tentu ada pro dan kontranya. Bagaimanapun, kita perlu melihat dari prespektif yang luas, terutamanya dari segi pulangan ekonomi melalui sektor pelancongan.
"Ia dapat membantu membangunkan ekonomi negeri dan rakyat setempat," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, Bung Moktar berkata, isu mengenai gangguan terhadap kekhusyukan umat Islam menunaikan ibadah tidak sepatutnya timbul.
Ini kerana, katanya, patung tersebut telah lama wujud di negeri seperti Pulau Pinang dan Kelantan, yang malah terkenal sebagai negeri serambi Mekah.
"Kita lihat di Kelantan yang dikenali sebagai negeri serambi Mekah, pembinaan patung Mazu di negeri tersebut tidak menimbulkan sebarang isu sensitiviti agama atau merubah aqidah umat Islam.
"Malah dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam surah al-Kafirun ayat 6, yang bermaksud 'untukmu agamamu dan untukku agamaku.'
"Dan dalam surah al-Qasas ayat 55 menyebut, 'bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalanmu.' Justeru tidak timbul isu pembinaan patung Mazu ini boleh menjejaskan aqidah masyarakat Islam,” tambahnya.
Perbahasan mengenai pembinaan patung Mazu di Kudat kembali hangat susulan cadangan Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew agar projek yang terbengkalai akibat bantahan umat Islam setempat pada 2006 itu diteruskan.
Turut membantah projek tersebut, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Sabah yang mencadangkan agar patung tersebut tidak dibina berhampiran dengan Masjid Pekan Kudat.