Lebih 13 tahun pembeli rumah yang memasang impian untuk mendiami rumah sendiri masih tidak kesampaian, bahkan setiap bulan gaji mereka dipotong untuk membiayai pinjaman perumahan yang menjadi projek gajah putih.

Hasrat 96 orang pembeli pangsapuri 10 tingkat di Tok Bali di sini semakin kabur apabila pangsapuri berkenaan sudah menjadi sarang nyamuk dan terbengkalai.

Pembeli yang menanggung hutang dan beban tiada tempat lagi untuk meluahkan rasa tidak puas hati, akhirnya meminta Astro AWANI mendedahkan nasib mereka dengan harapan masalah mereka mendapat perhatian.

Menurut pembeli pangsapuri berkenaan, mereka terpaksa menanggung beban potongan gaji dan bayaran bulanan sejak 2003.

Pembinaan pangsapuri mewah di tepi Terusan Semerak itu sepatutnya siap pada tahun 2006, tiga tahun selepas projek berkenaan dilancarkan.

Keadaan projek pangsapuri yang terbengkalai selama 13 tahun di Tok Balii, Pasir Puteh. - Foto Astro AWANI

“Pembeli lain rasa teraniaya menunggu rumah terbengkalai tak siap. Saya mula beli pada tahun 2007, dan ada yang beli lebih dulu daripada saya iaitu pada tahun 2002 dan 2003.

“Hinggakan ada yang meninggal dunia menunggu rumah mereka tapi tak siap juga. Kami rasa teraniaya. Kami mohon agar ada pihak membantu kami menyelesaikan masalah ini,” ujar seorang pembeli, Zaharin Zakaria.

Menurutnya, pihak pembeli pernah berjumpa dengan pemaju namun sering menerima pelbagai alasan.

Mereka yang membeli unit pangsapuri berkenaan, antaranya bekerja sebagai guru, pesara kerajaan dan pekerja swasta, terpaksa menanggung potongan gaji dari RM850 hingga lebih RM1,200 sebulan.

“Saya terkilan dan rasa tertipu dengan pembelian rumah di Bali Resort ini. Sudah masuk 14 tahun, tiada apa yang dapat dinikmati kerana potongan gaji,” keluh seorang lagi pembeli, Hassan Sidek yang khuatir menjadi mangsa pihak yang menipu mereka.

Bagi seorang pesara, Zakaria Awang, dia terkilan kerana sering diperdaya dengan janji-janji.

“Sekarang (kawasan) sudah jadi hutan dan banyak sampah. Pihak pemaju jadi munafik. Kasihanilah pada pembeli ini,” katanya.

Tambahnya, pembeli hanya mampu memegang surat perjanjian selain dibebankan dengan pembayaran yang terpaksa ditanggung bagi mengelak tindakan mahkamah oleh pihak bank yang menyediakan pinjaman secara terus kepada pemaju.

Mereka juga terpaksa menyewa rumah sebagai tempat tinggal sementara menunggu projek itu disiapkan.

Usaha mengumpul semua pembeli kediaman itu yang berjumlah 104 orang sedang dibuat untuk membawa kes itu ke muka pengadilan bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya.

Difahamkan setakat ini, 96 pembeli sudah mengadakan perbincangan secara bersama untuk mengambil tindakan yang sepatutnya termasuk membuat laporan polis dan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan memaklumkan syarikat kontraktor yang menjalankan projek pangsapuri berkenaan tidak berdaftar di bawah REHDA.

Menurut Setiausahanya, Mohd Amar Bakhtiar Yusuf, pembeli dinasihatkan supaya merujuk kes tersebut kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Usaha Astro AWANI untuk menghubungi pemaju perumahan berkenaan bagaimanapun gagal.