Pembatalan model rakan pelaksanaan projek (PDP) bagi Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak perlu mengambil kira keseluruhan konteks projek itu, kata Anggota Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga bekas Menteri Kerja Raya di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, berkata jika kerajaan mahu melantik PDP yang baharu maka pastikan ia menguntungkan pihak kerajaan serta tidak memberi kesan kepada pelaksanaan projek itu kelak.

"Mana-mana PDP yang dilantik, mereka mesti mematuhi beberapa aspek atau lebih baik dari PDP yang telah dilantik kerajaan terdahulu.

"Dalam pelaksanaan projek ada beberapa perkara yang perlu dilihat iaitu dipantau kualiti projek, sudut keselamatan, perjalanan projek dan sekitarnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka anjuran beliau di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata pembatalan PDP yang sedia ada juga mampu memberikan kesan dari segi pembayaran pampasan.

"PDP yang sedia ada telah melakukan kerja dengan baik, mereka telah mencapai lebih 50 peratus, di mana dua pakej telah pun siap dan selebihnya adalah untuk menguruskan apa yang telah ditetapkan pada kadar KPI yang ditetapkan dahulu.

"Apa-apapun kita serahkan kepada kerajaan baharu dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian untuk menentukan dengan melihat secara lebih menyeluruh terlebih dahulu," katanya.

Semalam, Baru Bian berkata pengumuman pembatalan PDP bagi Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak akan dimaklumkan tidak lama lagi kerana masih menunggu keputusan Kabinet.

Setakat ini, hanya model PDP bagi lebuh raya di bahagian Sabah telah dibatalkan dan digantikan dengan model kontraktor siap guna, katanya.

Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd dilantik sebagai PDP untuk menguruskan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang menelan kos RM16.49 bilion.

-- BERNAMA