KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini belum menemukan pembantu tekong yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Satang di sini, Sabtu lepas.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak belum menjumpai sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa setakat ini.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata operasi semalam mendapat bantuan aset udara daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM bagi membuat pencarian melalui udara di sekitar perairan Pulau Satang.

"Keadaan cuaca sedikit berangin dengan kelajuan antara 20 dan 30 kilometer sejam, dengan laut berombak setinggi 1 hingga 1.5 meter," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

BACA: Bot karam: 9 pemancing ditemukan selamat, SAR pembantu tekong diteruskan pagi ini

Menurut beliau, keluasan pencarian hari ini merangkumi 795.31 batu nautika serta beberapa bot pancing komuniti maritim sekitar turut melakukan pencarian dengan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat adalah seramai 80 orang.

Semalam, sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang berjaya diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar sekitar 1 pagi (Ahad).

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, sebuah bot pancing dengan lima pemancing dilaporkan tidak kembali ke jeti setelah menuju ke perairan Karam Berumput hingga Tukun Bass, 9.3 batu nautika dari Santubong.

Zin Azman berkata pihaknya menerima maklumat itu pada 7 pagi semalam dan terus mengaktifkan operasi SAR serta menyalurkan maklumat kepada agensi yang berkaitan dan komuniti sekitar mengenai kejadian tersebut.

"Menurut pengadu, bot itu telah keluar dari Jeti 98 Fishing Village pada 5 petang 1 Okt dan (kumpulan pemancing itu) tidak dapat dihubungi sebelum pengadu bertekad untuk membuat laporan polis setelah khuatir keselamatan mereka yang masih berada di laut," katanya.

Beliau berkata setakat 3 petang tadi, hanya sebuah boya berwarna oren yang disahkan dari bot itu telah ditemukan semalam pada jarak 34.5 batu nautika dari Muara Sungai Santubong dengan tiada sebarang petunjuk baharu dijumpai oleh pasukan penyelamat,

"Keluasan pencarian hari ini merangkumi 101 batu nautika dan melibatkan aset Maritim Malaysia KM Cekal bagi pencarian di laut dan tiga aset PGU PDRM iaitu Beachcraft King Air B300, Helikopter Ecureil AS355N dan pesawat Cessna Caravan C208 bagi pencarian melalui udara," katanya.

-- BERNAMA