SUNGAI PETANI: Projek Bandar Saujana Putra dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM2.5 bilion yang akan dibangunkan di sini secara usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan Oriental Interest Berhad (OIB) bakal menyediakan kira-kira 20,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek yang dijangka mengambil masa selama 10 tahun keseluruhannya untuk disiapkan itu menawarkan 230 lot industri dan 40 lot komersial berkonsepkan taman industri bersepadu dilengkapi prasarana serba canggih serta moden di samping perumahan mampu milik.

"Pembangunan fizikal projek ini akan bermula pada suku tahun kedua 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku tahun keempat 2032. Apabila siap kelak, Bandar Saujana Putra ini bakal menyediakan 5,400 unit rumah kediaman yang sebahagiannya adalah rumah mampu milik.

"Saya yakin, projek Bandar Saujana Putra yang dibangunkan secara kerjasama antara PKNK dan OIB ini akan memberi impak yang besar terhadap pertumbuhan ekonomi di daerah Kuala Muda khasnya dan negeri Kedah amnya," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek itu, di sini, pada Khamis.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif PKNK Datuk Syed Yussof Syed Othman dan Pengerusi OIB Tunku Mohamad Zulkifli Osman.

Muhammad Sanusi berkata projek itu bakal dibangunkan atas kawasan tanah seluas 1,400 ekar (560 hektar) yang mana 1,200 ekar (480 hektar) tanah milik PKNK manakala selebihnya milik OIB.

Menurutnya, sebuah Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) akan dibina di kawasan taman perindustrian itu untuk memastikan semua pekerja mendapat tempat penginapan selesa dan berkualiti serta persekitaran kerja kondusif.

Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Muhammad Sanusi berkata kawasan perindustrian yang dibangunkan PKNK sejak 1985 hingga kini keseluruhannya berjumlah sembilan kawasan yang melibatkan keluasan 10,000 ekar (4000 hektar).

"Kesemua sembilan kawasan perindustrian itu telah sediakan 180,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah dan orang luar dari Kedah pun datang kerja di Kedah ini khususnya di KHTP (Kulim Hi-Tech Park) bawah PKNK," katanya.

Dalam pada itu, katanya, dua lagi CLQ akan dibina masing-masing di Kulim dan Bukit Kayu Hitam dalam usaha menyediakan persekitaran kerja yang kondusif kepada pekerja.

-- BERNAMA