KUALA LUMPUR: Pembangunan di Baram melibatkan isu kemudahan internet, jalan raya dan fasiliti kesihatan antara yang ditekankan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau, di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pembangunan di kawasan itu penting bagi membolehkan penduduknya tidak ketinggalan berbanding penduduk di kawasan lain terutamanya di bandar selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia.

‘’Saya memohon supaya keutamaan diberi untuk menaik taraf jalan dan membina jalan yang sepanjang 40 kilometer dari pekan Lapok ke Long Ayak dan ini perlu diutamakan dalam RMK-12.

‘’Disamping itu, bagi Hospital Long Lama kerana klinik yang ada sekarang ini pernah terlibat dengan kejadian tanah runtuh satu masa dulu dan dewan masyarakat terpaksa digunakan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Anyi turut berharap Kerajaan Persekutuan mengambil perhatian terhadap cadangan Kerajaan Negeri Sarawak untuk meluluskan peruntukan untuk menjayakan beberapa projek penting di kawasan pedalaman negeri itu.

‘’Saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak mencadangkan kepada pihak atasan khususnya dalam RMK-12 untuk memperuntukkan sekitar RM 61 bilion untuk buat dan naik taraf jalan.

‘’Selain itu, untuk telekomunikasi sekitar RM6 bilion dan untuk utiliti melibatkan api, elektrik dan air diperlukan dalam RM 22 bilion.

‘’Manakala untuk sekolah dan kesihatan masing-masing hampir RM20 bilion,’’ tambahnya.

Anyi turut berharap agensi persekutuan seperti balai polis, hospital dan sekolah dinaiktaraf di pekan Long Lama dan pekan Beluru selaras statusnya sebagai pusat pentadbiran daerah di Baram.