Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan mentaliti pembangkang hanya tahu 'menyalak' berhubung isu percutian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hawaii baru-baru ini.

Tegasnya, pembangkang termasuk mereka yang gemar mengkritik Perdana Menteri dikatakan golongan yang tidak pernah memikirkan kepentingan orang lain.

Katanya, seperti orang lain, Najib juga mempunyai hak untuk bercuti ke mana sahaja bersama keluarga dan tidak sepatutnya menjadi pertikaian.

"Percutian mana-mana pemimpin negara termasuk menteri kebinet merupakan perkara biasa.

"Soal menggunakan pesawat khas bukannya isu besar, sengaja diperbesarkan oleh mereka yang suka membuat onar politik untuk memburukkan kerajaan," katanya di dalam catatan terbaharunya di blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com/.

Tegasnya, pembangkang dilihat hanya tahu mempertikaikan percutian Najib sekali gus menunjukkan mentaliti pembangkang yang tidak boleh dicontohi.

"Mengapa percutian Najib dijadikan isu dan dipolitikkan menerusi laman-laman sosial, ini menunjukkan mentaliti mereka rosak dan hanya tahu mencari kesalahan orang lain.

"Walaupun bercuti, Perdana Menteri mengambil kesempatan bertemu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama atas dasar hubungan diplomatik antara kedua negara.

"Mengapa terlalu bodoh untuk melihat kepada kebenaran, apakah salahnya Najib bertemu Obama, ini soal dasar luar negara," katanya.

Kata Syed Ali lagi, pembangkang sepatutnya berterima kasih kepada Najib kerana tetap menjalankan tugas negara walaupun dalam masa percutian.

Tambahnya, percutian Perdana Menteri bersama keluarga juga difahamkan telah dirancang terlebih awal.

"Secara kebetulan dalam masa percutian itu negeri-negeri di Pantai Timur dilanda banjir besar maka Najib sanggup bergegas pulang ke tanahair dengan meninggalkan keluarga di luar negara," katanya.

Dalam hal ini jelasnya, rakyat sepatutnya berfikir apa perasaan keluarganya yang terpaksa meneruskan percutian tanpa Najib.

"Datin Seri Rosmah Mansor juga terpaksa menguruskan percutian tersebut tanpa suami.

"Kita sendiri boleh bayangkan bagaimana perasaan mereka, tetapi mereka redha kerana faham tugas Najib selaku Perdana Menteri yang perlu bersama rakyat yang dilanda musibah banjir.

"Cuma yang tidak faham dan mereka yang berfikiran bodoh sahaja yang suka membuat andaian buruk dan memfitnah keluarga Perdana Menteri," jelasnya.

Menurut Syed Ali lagi, Najib boleh mengambil keputusan untuk meneruskan percutian bersama keluarga dan tidak perlu bergegas pulang kerana tugasnya dilaksanakan dengan baik oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Apakah Muhyiddin tidak mampu? Muhyiddin berkeupayaan untuk menangani masalah banjir bersama jemaah menteri yang ada.

"Ketiadaan Najib bukan isu besar kerana tugasannya semasa percutian telah diselaraskan dengan Timbalan Perdana Menteri," tegasnya.

Bagaimanapun jelasnya, atas dasar tanggungjawab dan mendahulukan kepentingan rakyat Najib sanggup pulang ke tanahair walaupun dalam tempoh bercuti.

Sehubungan itu katanya, soal penggunaan pesawat eksekutif yang membawa Najib dan keluarga bukannya satu isu besar dan perlu dipertikaikan.

"Penggunaan pesawat tersebut telah diluluskan oleh kerajaan dan selaku ketua negara ianya bukan satu kesalahan menggunakannya bersama keluarga," tegasnya.

Sebenarnya katanya, percutian Perdana Menteri dan penggunaan pesawat tersebut sengaja dijadikan isu politik oleh pembangkang.

"Pembangkang sebenarnya tidak ada kerja nak buat, jauh sekali nak tolong rakyat, jadi masa terluang itu digunakan untuk mencari kesalahan orang lain, reka cerita palsu dan tabur fitnah terhadap Najib dan keluarga," tegasnya.

Syed Ali turut menyifatkan percutian Najib dan penggunaan pesawat khas itu hanya perkara remeh-temeh tetapi sengaja diperbesarkan oleh pembangkang untuk memburukkan reputasi Perdana Menteri.

"Golongan sakit mentaliti ini sememangnya suka membuat kerja bodoh, menyalak dan mencari kesalahan orang lain, tetapi mereka sendiri tidak menyumbang apa-apa untuk negara dan rakyat.

"Mereka tidak perlu dilayan, mereka hanya makan gaji buta kerana tidak memberi sumbangan kepada kerajaan," ujarnya lagi.

Syed Ali turut mempersoalkan apakah sumbangan yang telah dihulurkan oleh golongan ini kepada rakyat terutama mangsa-mangsa banjir.

"Mereka 'menyalak' mengkritk dan mengencam Najib, tetapi setakat ini apa yang telah mereka berikan kepada negara dan rakyat," tegasnya.