Kerajaan Selangor mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mana-mana individu yang mencetuskan pembakaran terbuka di kawasan Johan Setia, Klang dikenakan tindakan tegas.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata ini kerana individu yang disyaki membuat pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut berkenaan adalah golongan petani haram serta warga asing dan kerajaan negeri menghadapi kesukaran dalam mengawal situasi berkenaan.

"Isu pembakaran terbuka di Johan Setia memang dalam perhatian kerajaan negeri. Malah isu ini telah beberapa kali di bawa dalam mesyuarat.

"(Bagaimanapun) Kerajaan negeri masih lagi mencari formula berkesan untuk tangani perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Pemberdayaan Ekonomi Ke Arah Selangor Maju Bersama di sini, pada Selasa.

Turut menjadi penalis dialog berkenaan adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Mat Salih dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafee Yasin sebelum ini yang memaklumkan bahawa pembakaran dilakukan petani di kawasan Johan Setia untuk aktiviti pertanian itu turut menyumbang kepada peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lokasi berkenaan.

BACA: Selangor berada di peringkat amaran awal berkaitan jerebu

Mengulas mengenai keadaan jerebu yang melanda lima kawasan di Selangor sejak dua hari lepas, Amirudin berkata Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya IPU melebihi bacaan tahap tidak sihat.

"Sebarang pengumuman untuk penutupan sekolah bergantung kepada keadaan semasa. Buat masa ini, saya menasihati orang ramai untuk elakkan diri daripada melakukan aktiviti luar jika tidak perlu," katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perancangan kerajaan negeri dalam menyediakan belanjawan tahun hadapan, Amirudin berkata Selangor akan memfokuskan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, antara inisiatif yang akan dirancang adalah menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tertentu.

"Jabatan Perancang Bandar juga sudah mengenalpasti lokasi untuk dipasang CCTV ini dan hanya tunggu maklumat serta data lengkap berhubung lokasi terbabit.

"Saya juga sedang menunggu masa untuk bertemu Kementerian Dalam Negeri bagi membincangkan isu menambah anggota polis serta balai polis di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Muhammed pula berkata Kerajaan Selangor perlu mengambil peluang memantapkan industri aeroangkasa serta keselamatan di samping memanfaatkan penganjuran program Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau turut berpandangan, pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan dijangka lebih sukar berbanding tahun ini disebabkan faktor politik.

"Faktor utama yang menyebabkan ekonomi perlahan adalah politik. Pertumbuhan ekonomi tahun depan dijangka sukar. Disebabkan itu, Selangor perlu ambil peluang memantapkan penerokaan industri aeroangkasa dan keselamatan. Tenaga kerja harus dilahirkan di sini.

"Tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia, duit masuk dan boleh mengurangkan impak kelembapan pertumbuhan ekonomi," katanya.

-- BERNAMA