MELAKA: Seorang penyelia syarikat hiasan dalaman dihukum penjara 10 tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian, tiga tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang penyelia syarikat hiasan dalaman dihukum penjara 10 tahun dan denda RM70,000 kerana memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pada 2021.
  • Lesen memandu tertuduh digantung selama 10 tahun selepas menjalani hukuman, dan penangguhan hukuman penjara dibenarkan dengan syarat notis rayuan dikemukakan serta jaminan dinaikkan.
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga 15 tahun, denda maksimum RM100,000, dan hilang kelayakan memandu.


Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Han Wee, 45, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung selama 10 tahun bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Tertuduh didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang petugas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Abdul Rahim Mohamad, 53, di Jalan Klebang di sini, sekitar 12.45 tengah malam pada 29 Nov 2021.

Peguam Alhirzan Mohd Akhir yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman penjara ke atas anak guamnya ditangguhkan kerana kecederaan pada tulang pinggul akibat kemalangan tersebut memerlukan rawatan lanjut di hospital pakar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa'ari membantah dengan alasan tertuduh memandu dalam keadaan sedar sebelum mengambil minuman keras hingga menyebabkan kemalangan berlaku di samping masih boleh menerima rawatan di penjara.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat iaitu notis rayuan perlu dikemukakan secepat mungkin dengan jumlah jaminan dinaikkan daripada RM12,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan membayar denda RM70,000 terlebih dahulu dan sekiranya gagal dipenjara 12 bulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun denda RM100,000 serta hilang kelayakan memandu selama 10 tahun jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA