PADANG TERAP: Seorang pemancing dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Empangan Tasik Pedu, di sini pada Jumaat.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang segera dihantar ke lokasi.

"Bilik Kawalan BBP Kuala Nerang menerima panggilan daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan dan bergegas ke lokasi bersama sebuah bot aluminium, sebuah jentera FRT dan jentera EMRS.

"Komander Operasi melaporkan, maklumat awal yang diperolehi terdapat seorang mangsa iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas.

"Berikutan itu operasi pencarian di permulaan air dilakukan di kawasan mangsa dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Aminuddin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah kemudian mengarahkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta bot aluminium dari BBP Jitra dan Sik.